Lautan Pemikiran

Berfikir Jalan Keimanan

Wahai Pejuang Demokrasi, Dengarlah Keluhan Dan Nasihatku (Part 1)

Posted by thinker on 17/04/2009

demokrasi
Dengan nama Allah aku menulis tulisan ini dengan mengharap keredhaan Allah SWT, yang mana apabila Allah menginginkan kebaikan atas diriku, maka tiada siapa yg mampu menahannya, dan begitu juga sebaliknya. Dengan rasa rendah diri, aku menulis tulisan ini. Semoga kita mendapat manfaat darinya.

Zaman moden yang serba canggih kini telah lahir pelbagai dogma dan fikrah-fikrah yang diambil oleh sekian banyaknya manusia untuk diguna pakai untuk kemaslahatan mereka bagi menjalani kehidupan sehari-hari. Sebahagian mereka mengambil ideaa-ideaa kufur sebagai perjuangan, walau mereka sebenarnya dengan laungan perjuangan yang didambakan iaitu menginginkan kemuliaan di sisi mereka. Lambakan idea-idea yang lahir dari luar syariat islam ini akhirnya dijadikan wadah perjuangan oleh mereka-mereka yang mengatas namakan perjuangan islam, tanpa mereka sedari bahawasanya mereka telah melakukan bid’ah dan berada dalam kesesatan (ikuti perbincangan seterusnya).

Seperti yang kita ketahui, idea Demokrasi adalah salah satu idea yang kian mendapat perhatian masyarakat dunia dan tidak ketinggalan umat islam di seluruh dunia. Amerika dan sekutunyalah yang rancak mempropagandakan idea demokrasi ini di seluruh belahan bumi umat islam sehingga ia semakin subur dalam benak dan pemikiran umat islam tanpa mereka dapat mengenal antara kaca dan berlian, mereka juga semakin tidak dapat membezakan sama ada ianya akan mendatangkan murka Allah ataukah rahmatNya, atau lebih tepat untuk kita katakan iaitu sama ada ianya dosa atau pahala, neraka ataukah syurga. Miqyas (tolok ukur) umat islam yang dari dahulunya amat dekat dengan fikih islam dalam memahami permasalahan untuk diselesaikan, tetapi kini sudah tidak lagi begitu, kerana miqyas mereka kini sudah bertukar kepada kemaslahatan dunia.

Definisi & Konsep Demokrasi

Firman Allah SWT:

“Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar takwa kepada Allah dan keredhaanNya itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam api neraka Jahanam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim”. (TQS at-Taubah [9]: 109)

Demokrasi adalah idea kufur ciptaan musuh-musuh Allah dan Rasulnya yang berakidah sekularisme, iaitu memisahkan antara agama daripada kehidupan (fashl ad-din anil hayah). Sistem demokrasi datang dengan membawa konsep bahawasanya manusia adalah sumber kekuasaan, manakala rakyatlah yang akan memberi hak kepada penguasa untuk memerintah mereka dengan mengikut selera mereka. Rakyat pula berhak menurunkan penguasa tersebut bila-bila masa sahaja sesuai kehendaknya, kerana rakyatlah yang “mengupah” mereka. Umat membuat aturan yang ia inginkan, kerana pemerintahan adalah akad ijarah (kontrak kerja) antara rakyat dan penguasa, agar penguasa memerintah sesuai dengan kehendak yang diharapkan oleh rakyat. Demikianlah dapat kita lihat revolusi Perancis yang menjadikan demokrasi sebagai asas perundangan, ketika pasal tujuh deklarasi hak-hak asasi tahun 1789 M yang menyatakan bahawa: “undang-undang adalah ungkapan kehendak umat” (qawaid nidzhom al-hukmi fil islam, M Abdul Majid Al-Khalidi, ms38). Demokrasi menurut tulisan Robert A Dahl ialah “Sistem politik yang memberi kepada rakyat jelata untuk membuat keputusan secara terbuka”. Konsep yang paling agung dan menonjol dalam sistem demokrasi adalah menjadikan hukum majoriti sebagai simbol kebebasan. Selanjutnya menjadi penentu bagi ukuran  al-haq dan as-shawab.

Dari akidah kapitalisme ini lahir pula konsep “kedaulatan umat”, iaitu umat adalah satu-satunya pihak yang memiliki kekuasaan tertinggi dan agung dalam menetapkan segala hukum terhadap segala aspek amalan dan benda. Setiap permasalahan yang timbul, maka akallah yang akan memainkan peranan dalam memberi penyelesaian. Seperti yang telah dibincangkan pada awal perbahasan tadi, bahawasanya akidah demokrasi ini lahir dari sekularisme, maka tiada campur tangan Sang Pencipta dalam segala aspek kehidupan. Keberadaan “al-khaliq” tidak berfungsi sama sekali dalam kehidupan manusia, kecuali dalam hal-hal ritual keagamaan seperti solat, zakat, puasa, nikah dan seumpamanya. Manakala, manusialah yang berhak mengatur kehidupan mereka sendiri dengan standard ukuran akal, yang disepakati oleh sekelompok majoriti manusia yang mengimani demokrasi. Ciri-ciri yang dapat kita fahami secara fakta yang ringkas seperti berikut:

1.    Kedaulatan adalah milik umat secara mutlak
2.    kekudusan (keagungan) kehendak umum majoriti (banyaknya undi)
3.    Pendapat majoriti adalah standard kebenaran dan yang mengungkapkan realitias kebenaran
4.    akal merupakan satu-satunya rujukan untuk membuat undang-undang

Dakyah Kebatilan Demokrasi

“Jika kita mahu melindungi negara kita dalam jangka panjang, hal terbaik yang harus dilakukan adalah menyebarkan kebebasan dan demokrasi.” (Goerge W. Bush,  6/11/2004)

Lagu sudah dipasang, tinggal hanya perlu diperkuat “volume”nya oleh peminat setia lagu demokrasi yang berasal dari kufur ciptaan barat. Lalu beralunlah dengungan lagu ini di pelosok dunia, tidak ketinggalan di bumi-bumi umat islam. Tidak hairanlah jika di segenap pelosok dunia kini, “nyanyian” demokrasi ini sudah cukup terkenal dan diminati ramai terutama oleh golongan yang mempunyai kepentingan dan maslahat dunia, dan sangat pragmatis sekali terhadap perjuangan demokrasi ini. Tetapi tidak sedikit pula, yang semakin kencar menentang kerana sedar akan hakikat keburukan “nyanyian” dan laungan demokrasi ini, yang semakin merosak sendi-sendi kehidupan, kerana ianya bagaikan khayalan yang tidak praktikal.

Maka tidak hairan pula, jika pihak musuh islam ini selalu melaung-laungkan idea kebebasan serta pakej yang di atas namakan kebebasan bersuara dan demokrasi. Atmosfera demokrasi ini akan selalu menaungi bumi umat islam, selagi pejuang-pejuang demokrasi yang kononnya berpihak kepada islam ini terus menerus dengan perjuangan yang fana ini dan disokong dengan bantuan pihak kuffar dari pelbagai aspek. Lantas, perjuangan yang pada awalnya menuntut secara tegas agar terpisahnya antara yang haq dan batil pun dilanggar. Pendukung dan pejuang demokrasi mengutamakan muslihat untuk meraih suara majoriti, sehingga melupakan hak Allah SWT sebagai pengatur setiap tatacara, tingkah laku, pola dan peraturan hidup manusia di dalam segala aspek. Sedangkan kita dituntut untuk menjauhi segala apa yang bertentangan dengan syariat islam, dan bukan mengimaninya kerana ia adalah idealogi yang batil. Allah SWT berfirman di dalam al-quran:

قُلْ كَفَى بِاللَّهِ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ شَهِيدا ً يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَالَّذِينَ آمَنُوا بِالْبَاطِلِ وَكَفَرُوا بِاللَّهِ أُوْلَائِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

“Katakanlah: Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antaramu. Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi. dan orang-orang yang percaya kepada yang batil dan ingkar kepada Allah, mereka Itulah orang-orang yang merugi. (TQS Al-Ankabut[29]: 52)

Kemenangan para penyeru demokrasi pada amnya terletak pada daya kepintaran dalam memperdayakan rakyat melalui karisma kepintaran dan kepetahan berpidato serta bijak menabur janji-janji pembangunan dan kebendaan yang jauh dari sisi keagamaan dan kerohanian yang murni. Para penyeru demokrasi ini mengandalkan bahawasanya ketika mereka berjaya memerintah sebuah institusi Negara nanti, maka mereka akan menerapkan isi-isi agama ke dalam jiwa-jiwa manusia. Bagaimana mungkin orang-orang yang telah menyeru kepada demokrasi yang tidak mengakui intervensi al-khaliq dalam urusan kehidupan ini menginginkan orang lain untuk memahami isi-isi agama? Bukankah ianya sesuatu yang aneh dan janggal pada akal fikiran kita tentang perjuangan mereka. Bagaimana pula mereka hendak menyeru manusia untuk mematuhi batas-batas syariat, padahal mereka pada awalnya telah menyalahi syariat?

Pada dasarnya, menurut islam, tidak semestinya pula terlebih dahulu menunggu keseluruhan rakyat masuk islam atau tahu akan semua hukum-hakam  islam, maka barulah kita mahu melaksanakan hukum-hakam islam secara syumul. Untuk mencapai matlamat yang demikian kita tidak boleh mentaati suara atau kehendak rakyat di dalam hal-hal yang mungkar termasuklah idea-idea batil seperti demokrasi. Ia bukan sahaja akan menjerumuskan para pemimpin demokrasi itu sendiri tetapi juga para penyokong dan rakyat yang mentaati mereka sehingga ke tahap kesesatan. Allah SWT berfirman:

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah). Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui tentang orang yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia lebih mengetahui tentang orang-orang yang mendapat petunjuk.” (TQS Al-An’am[6]: 116-117)

Secara amnya, suara majoriti dari sebuah komuniti masyarakat akan lahir dari apa kemaslahatan yang mereka ingin raih bersama. Kerana itu, kayu ukur atau neraca untuk menilai sesuatu kebenaran dan keadilan itu adalah berdasarkan akal semata. Sebagai contoh, jika sebuah masyarakat yang mempunyai persekitaran dan budaya jahiliyah, yang bergelumang dengan pelbagai maksiat seperti riba, judi, pelacuran dan sebagainya, maka akan menuntut penghalalan lesen perbankan riba, pusat perjudian, dan sarang pelacuran. Apakah sistem pemerintahan seperti ini dapat diterima oleh seseorang yang beriman kepada Allah? Dapatkah sistem seperti ini dijadikan wadah perjuangan dan manhaj pengorbanan nyawa dan harta? Adakah mati dalam mempertahankan dan memperjuangkan pemerintahan demokrasi diklasifikasikan sebagai mati syahid?

Secara tabi’i pula, tidak mungkin dalam satu masa dan ketika seseorang individu itu dapat menerima dua pegangan (idealogi) atau akidah di hatinya secara sejajar (serentak), iaitu akidah islamiyah yang bersandarkan al-quran dan al-hadith, dan pada waktu yang sama mengambil demokrasi yang berakidahkan sekularisme yang tidak dapat disatukan dengan akidah islamiyah yang suci. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya” (Al-Ahzab[33]: 4)

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” (TQS Al-Baqarah[2]: 42)

Seorang politikus, sama ada secara sedar atau tidak sedar apabila mencampuradukkan di antara perjuangan al-quran dan as-sunnah dengan demokrasi adalah jelas batil dan bertentangan sekali dengan syariat islam. Mereka beriman kepada sebahagian ajaran islam, dan sebahagian lain pula beriman dengan idea politik non islam. Perumpamaan ini telah Allah SWT sentuh di dalam al-quran:

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah Balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat.” (TQS Al-Baqarah[2]: 85)

Perbezaan Di antara Islam (Syura) dan Demokrasi

SISTEM DEMOKRASI

Kedudukan dan fungsi
Suatu kemestian (‘wajib’) yang menjadi thariqah mewujudkan kedaulatan rakyat

Objektif
Membentuk majlis perwakilan yang menjadi badan penggubal (legislator)

Keterlibatan rakyat
Semua rakyat berhak menentukan pemimpin dan kepala negara seterusnya undang-undang berdasarkan suara majoriti

Wakil
Siapa sahaja berhak dipilih sebagai wakil asalkan memenangi kutipan suara terbanyak

SISTEM ISLAM

Kedudukan dan fungsi
Suatu yang Mubah (harus) bagi membentuk Majlis Umat serta mencalonkan Khalifah

Objektif
Membentuk Majlis Umat yang menyuarakan aspirasi rakyat dalam konteks memuhasabah Khalifah dalam urusan pentadbirannya.

Keterlibatan rakyat
Semua rakyat berhak menyuarakan aspirasinya kepada Khalifah tetapi hanya kaum muslimin berhak memilih calon Khalifah yang akan dibai’at melaksanakan tuntutan (peraturan) Al-Quran dan As-Sunnah

Wakil
Untuk Majlis Umat, rakyat bebas memilih wakil mereka. Tetapi untuk calon Khalifah, syara’ menetapkan hanya muslim lelaki yang baligh, berakal, adil, merdeka dan berkemampuan sahaja yang boleh dipilih

Islam, Adakah Sama Dengan Demokrasi?

Ketika Islam membolehkan Pilihanraya untuk memilih khalifah atau anggota majlis umat, bukan bererti pilihanraya dalam Islam sinonim dengan Pilihanraya dalam sistem demokrasi sekarang. Dari segi cara/teknik (uslub), memang boleh dikatakan sama antara Pilihanraya dalam sistem demokrasi dan Pilihanraya dalam sistem Islam (An-Nabhani, At-Tafkir, 1973: 91-92; Urofsky, Demokrasi, 2003: 2).

Namun demikian, dari segi falsafah dasar, prinsip, dan tujuan keduanya sangatlah berbeza, bagaikan langit dan bumi. Pertama, Pilihanraya dalam demokrasi didasarkan pada falsafah dasar demokrasi itu sendiri, iaitu pemisahan agama dari kehidupan (fashl al-din ‘an al-hayah, sekularisme) (Al-Khalidi, 1980: 44-45), sedangkan Pilihanraya dalam Islam didasarkan pada akidah Islam, yang tidak pernah mengenal pemisahan agama dari kehidupan (Yahya Ismail, 1995: 23).

Kedua, Pilihanraya dalam sistem demokrasi didasarkan pada prinsip kedaulatan di tangan rakyat (as-siyadah li asy-sya‘b), sehingga rakyat, di samping mempunyai hak memilih penguasa, juga berhak membuat hukum. Sebaliknya,  Pilihanraya dalam Islam didasarkan pada prinsip kedaulatan di tangan syariat (as-siyadah li asy-syar‘i), bukan di tangan rakyat. Jadi, meskipun rakyat berhak memilih pemimpinnya, kehendak rakyat wajib tunduk pada hukum al-Quran dan as-Sunnah. Rakyat tidak boleh membuat hukum sendiri sebagaimana yang berlaku dalam demokrasi (An-Nahwi, 1985: 37-38; Ash-Shawi, 1996: 69-70; Rais, 2001: 311).

Ketiga, tujuan Pilihanraya dalam sistem demokrasi adalah memilih penguasa yang akan menjalankan peraturan yang dikehendaki dan dibuat oleh rakyat. Sebaliknya, Pilihanraya dalam Islam bertujuan untuk memilih penguasa yang akan menjalankan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, bukan menjalankan hukum kufur buatan manusia seperti dalam demokrasi (Zallum, 1990: 1, 1994: 139-140; Belhaj, 1411 : 5).

Hafizh Shalih MA di dalam bukunya ad-Dimuqratiyah memberi gambaran tentang jenis-jenis pengambilan pendapat yang ada dari sudut islam:

Jenis-jenis pengambilan pendapat:

Pertama, pengambilan pendapat yang bersifat tasyri’

Dalam masalah tasyri’, mereka yang memiliki keahlian dalam masalah ini adalah fuqaha. Oleh kerana itu, seseorang hendaknya mengkaji masalah tasyri’ bersama para ahli dalam masalah ini agar sampai pendapat yang paling dekat dengan kebenaran (as-shawab). Hal itu hendaknya dicapai melalui dalil yang dijadikan hujah oleh orang yang mengajukan pendapat atau ahli faqih (orang yang ahli dalam masalah fiqih). Namun, harus dilandasi pandangan bahawa itu bukan merupakan pendapat seseorang, atau atas dasar kesepakatan mereka terhadap satu pendapat. Jadi, tolok ukur masalah syariat adalah dalil-dalil dan kaedah-kaedah yang menjadi sandaran pendapat atau hukum. Dalam masalah tasyri’ suara (pendapat) majoriti atau minoriti tidak ada nilainya. Kadangkala pendapat yang benar itu merupakan pendapat satu orang, sementara majoriti fuqaha menyalahinya. Kesepakatan mereka itu tidak ada nilainya.

Kedua, pengambilan pendapat dalam masalah sains dan teknologi

Pengambilan pendapat dalam masalah ini mengharuskannya berasal dari orang yang ahli dalam perkara tersebut, iaitu orang yang ahli dalam cabang ilmu teknologi, sama ada yang berkaitan dengan bahasa, kedoktoran, kejuruteraan, eksplorasi minyak dan lain-lain, atau pula ia berkait dengan bidang kecantikan, perdagangan atau pertanian. Manakala pendapat yang berasal dari mereka yang tidak memiliki keahlian dalam masalah sains dan teknologi, tidak ada nilainya.

Ketiga, pengambilan pendapat untuk melaksanakan sesuatu aktiviti

Dalam perkara ini, pendapat majoriti dapat dijadikan rujukan. Ianya bertujuan untuk mengetahui sejauh mana semangat dan persediaan mereka dalam menjalankan perkara tersebut. Berbagai perkara yang masuk dalam kategori ini, keputusannya boleh dikembalikan kepada pendapat majoriti.

Keempat, pengambilan pendapat tentang definisi dan terminologi

Ini termasuk aktiviti keilmuan. Topik ini memerlukan kemampuan yang tidak biasa dalam penggunaan bahasa yang dipakai, dan memerlukan kemampuan lebih untuk mengetahui fakta, sehingga definisi yang dibuat bersifat jami’ (mencakup seluruh cakupan definisi) dan mani’ (mencegah masuknya unsur yang tidak termasuk dalam cakupan definisi). Agar pengertian istilah ini sesuai dengan faktanya. Jika hal ini tidak dilakukan, maka definisi dan pengertian suatu istilah tidak boleh digunakan.

Inilah garis besar tentang cakupan berbagai pendapat yang ada di dunia. Hal ini juga berlaku umum, mencakup seluruh sistem yang ada, seluruh institusi dan seluruh idealogi yang ada, dan yang lebih tepat adalah yang berkenaan dengan aktiviti keilmuan yang bersifat universal. Ia juga merupakan cara yang memungkinkan untuk dapat sampai kepada titik kebenaran (as-shawab).

Wallahu’alam…

Bersambung… Part 2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: