Lautan Pemikiran

Berfikir Jalan Keimanan

Gara-gara Facebook

Posted by thinker on 16/05/2009

Sebuah kisah,

Ida, seorang wanita yang baru bergelar isteri kepada Doktor Arif, seorang lelaki yang bertugas sebagai doktor di Hospital Kerajaan di Kuala Lumpur. Disebabkan kesibukan kerja yang sering melanda bagi penjawat profesion doktor, suaminya telah membelikan sebuah laptop untuk Ida. Internet juga telah dipasang sejurus setelah membeli laptop untuk isterinya itu. Semua itu, dilakukan semata-mata atas dasar cinta Sang Suami terhadap isterinya.

Oleh sebab hari-hari yang dijalaninya terasa sunyi. Ida mengisi ruang-ruang waktunya dengan menghadap komputer pembelian dari suami tercinta. Berjalanlah hari-hari yang mendatang dengan begitu sempurna. Daripada langsung tidak tahu apa-apa, Ida mulai mengenal banyak perkara tentang komputer. Hari demi hari yang dilaluinya telah menyebabkan dia mengetahui seluk belok dunia maya a.k.a internet dengan lebih luas. Mulai dari membuat email, berforum, membaca-baca ruangan berita-berita selebriti hinggalah ia mengenal dunia Facebook yang kian mendapat perhatian di seluruh dunia. Kalau tidak salah, Facebook adalah ranking ke-5 sebagai website tersesak di seluruh dunia kini.

Melalui Facebook, Ida mengenal seorang pemuda yang bernama Ryan. Pada mulanya, perkenalan mereka hanya dipenuhi dengan sembang-sembang yang agak umum. Daripada perbualan umum, yang kadang diselingi gurauan dan canda yang lucu, akhirnya perbualan mereka menjurus ke arah yang lebih peribadi. Hobi, warna kesukaan, makanan kegemaran, tempat-tempat yang pernah dikunjungi dan lain-lain yang senada dengannya telah dibualkan dengan akrab dan mesra. Mereka akhirnya mengenal wajah masing-masing melalui gambar-gambar yang telah diupload di dalam Facebook masing-masing.

Apa yang berlaku tersebut, adalah di luar pengetahuan suaminya. Suaminya merasakan riak-riak yang aneh dan pelik daripada isterinya. Namun, dia tidak mentafsir apa-apa, melainkan cuba berprasangka baik kepada isteri yang dicintainya. Interaksi Ida dan Ryan pada hari-hari berikutnya berpindah kepada Chat Messenger yang lebih cepat dan mesra pengguna, iaitu Yahoo Messenger. Perbualan mereka juga akhirnya ditambah dengan melihat wajah masing masing secara ‘live’ dengan menggunakan webcam. Dari kekerapan perbualan di antara mereka yang ditambah pula dengan melihat wajah masing-masing, akhirnya muncul daya tarik di antara mereka. Mereka akhirnya mula curhat semua perasaan yang ada di dalam lubuk hati. Mereka mengaku bahawa mereka mempunyai banyak kesamaan dan cita rasa, dan telah muncul bibit-bibit cinta di antara mereka. Ida mulai menyesal dengan perkahwinannya yang sah. Dan merasakan bahawa, kalaulah dia berjumpa dengan Ryan sebelumnya, sudah tentu ia akan mengahwini Ryan berbanding suaminya sekarang.

Ida mula hilang pertimbangan akal. Dia sudah tidak berfikir dengan rasional tentang kedudukannya yang telah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang sah di sisi agama. Syaitan telah berjaya menjebaknya ke kancah dan lorong-lorong perzinaan. Benarlah falsafah “Dari mata turun ke hati”. Sahih jugalah ajaran islam yang menyuruh pemeluknya agar menjaga interaksi antara lelaki dan wanita dalam segala aspek. Ida, salah seorang anak adam yang tidak memperhatikan seruan untuk menjaga hati dan iman di dalam diri.

Hari-hari yang dilalui oleh kedua mereka berjalan dengan baik dan lancar. Pertemuan yang akhirnya dimeterai di antara mereka, tanpa pengetahuan suami Ida. Akhirnya, pertemuan yang dirancang tiba. Mereka bersiar-siar, berpegang tangan, bermesra layaknya pasangan muda-mudi yang sudah tidak mengenal norma-norma agama. Ibu kota! Ya, itulah tempat bagi orang-orang yang tidak segan silu mendedahkan aibnya masing-masing di khalayak ramai.

Pertemuan pertama, berjalan dengan baik dan lancar. Pertemuan kedua pula dipersetujui. kali ini, Ryan lebih nekad. Setelah bersiar-siar, mereka telah menyewa bilik di salah sebuah hotel mewah di ibu kota. Berlakulah perkara yang tidak diingini dari pandangan syara’. Mereka telah melakukan perbuatan terkutuk dan keji itu. Syaitan telah merasuk ke dalam diri kedua mereka. Nafsu telah menguasai akal yang sihat dan waras. Ryan menabur janji-janji manis, dan mengatakan bahawa dia akan mengahwini Ida setelah suaminya ‘diceraikan’.

Setelah kejadian itu, Ida terus pulang ke rumah dengan perasaan yang penuh dengan warna-warna yang tidak menentu. Ia berasa yakin dengan janji-janji Ryan. Dan dia juga memasang angan-angan untuk sehidup semati dengannya kelak, ketika rumah tangga mereka telah termeterai secara sah.

Di rumah,

Pada hari itu, suami Ida telah balik awal, kerana kerja-kerjanya di Hospital telah selesai, dan pesakit yang di bawah jagaannya telah dikendalikan oleh doktor yang lain. Tanpa disangka, terdetik di dalam hati sang suami untuk membuka laptop isterinya, yang sebelum ini tidak pernah dilakukan olehnya. Ini kerana, ia merasa percaya dengan isterinya dan menganggap bahawa laptop itu adalah hak peribadi sang isteri yang perlu dihormati olehnya untuk tidak membuka sesuka hati tanpa pengetahuan pemiliknya.

Entah kenapa, ada bisikan yang kuat di dalam hati dan fikirannya untuk membuka laptop tersebut pada saat itu. Akhirnya, terbongkarlah segala apa yang ada di dalam laptop itu. Ida sememangnya tidak menyangka bahawa suaminya akan membuka laptop peribadinya. Jadi, banyak fail-fail yang disimpan dan browsernya juga masih banyak yang tidak ‘clean up’, dan tersimpan dalam bentuk offline yang telah diketahui oleh sang suami. Catatan-catatan sang isteri yang ditulis mengenai Ryan, telah merobek segala kepercayaan sucinya kepada isteri tercintanya selama ini.

Petang itu, Ida tiba di rumah. Terjadilah perang mulut dan pergaduhan di antara keduanya. Sang suami, kalau boleh ingin mempertahankan mahligai rumah tangganya. Tetapi, melihat tekad dan keinginan sang isteri yang secara tegas mengatakan bahawa ia sudah tidak menyimpan rasa kasih dan cinta kepadanya, jadi ia akhirnya mengalah dengan keinginan isterinya itu. Sang suami melafazkan sesuatu yang dibolehkan di dalam islam, tetapi tidak disukai oleh nabi, iaitu lafaz cerai.

Ida pulang ke rumah ibu bapanya di kampung. Manakala suaminya menjalani kehidupannya dengan baik dan tenang. Dia pasrah dan redha terhadap apa yang telah menimpanya. Di dalam dirinya juga mengakui bahawa ia silap dan khilaf kerana terlalu sibuk dengan kerjanya-kerjanya yang mengakibatkan dia jarang berinteraksi dengan bekas isterinya itu. Dalam keredupan malam, ia menatap langit yang terbentang luas, sambil melafazkan bait-bait rintihan hatinya;

Duhai langit yang tenang,
alangkah baiknya jika hati yang gelap ini sepertimu,
walau gelap namun bertemankan malam yang setia,
Tidak pernah berselisih walau akan ada siang yang bakal memisahkan.

Setelah kejadian itu, Ida cuba menelefon Ryan berkali-kali, namun Ryan tidak menjawabnya. Dia cemas, namun masih berprasangka baik untuk menenangkan hatinya. Lalu, dia mengirim sms kepada Ryan, dengan harapan agar ia dijawab oleh Ryan. Sangkaannya tepat, dan selang beberapa minit sahaja dia mendapat balasan sms dari orang yang dicintainya itu. Ida membaca dengan teliti:

“Wahai perempuan kotor, alangkah jijiknya lelaki yang memiliki dan mencintaimu. Dirimu ibarat barang yang tiada nilai dan harganya. Jika dengan suami yang sah, engkau sanggup mengkhianatinya. Aku tidak mahu menerima risiko di masa hadapan untuk mengahwini perempuan kotor dan jijik seperti engkau.”

Berkecai sudahlah harapan yang selama ini ia simpan di peti hatinya. Runtuh jualah segunung cita-cita yang ia bina selama ini. Perasaan kecewa akhirnya menimpa dirinya. Ida merasa menyesal di atas tindakan dan perbuatan yang dilakukannya itu. Manusia memang makhluk yang lupa dan alpa. Sifat insaf memang selalu datang kemudian. Nasi yang menjadi bubur, tidak mungkin akan menjelma semula kepada bentuk asalnya.

p/s: watak dan jalan cerita adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah mati. Ia hanyalah imaginasi dan olahan penulis semata, dengan harapan ada setitis pengajaran bagi mereka yang mahu berfikir.

One Response to “Gara-gara Facebook”

  1. Yes! Finally something about catatan ryand.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: