Lautan Pemikiran

Berfikir Jalan Keimanan

“Selamat Hari Guru”

Posted by thinker on 24/05/2009

18 Mei 2009,

Jam 5 petang. Waktu menunjukkan berakhirnya sesi persekolahan pada sebelah petang. Para guru bersiap sedia untuk mengaturkan para pelajar untuk solat berjemaah Asar. Saya selaku imam yang memang ditugaskan mengimami solat Asar pada sesi petang, segera bersiap untuk bergegas ke ruangan solat pelajar lelaki. Tiba-tiba…

“Assaamualaikum Ustaz”, seorang pelajar yang memang saya kenal menghulurkan sesuatu kepada saya.

“Wa’alaikum Salam”, jawab singkat dariku. Saya lihat pelajar tersebut seraya terpegun (baca : statik) seketika.

“Selamat Hari Guru Ustaz!”, sapa pelajar tersebut kepada saya. Lalu berlalu pergi.

Sebuah bungkusan yang terbalut kemas. Saya bukanya dengan sedikit tanda tanya. Sebuah Pen (yang agak mahal, brandnya RAHSIA!),  terselit sebuah kad ucapan yang berbunyi,

Kepada Ustaz Amin,

“Selamat Hari Guru”

Harap Ustaz Suka dengan Hadiah ni

Saya terharu ketika melihat hadiah dan membaca kad tersebut. Murid tersebut bukanlah pelajar yang belajar di dalam kelas saya. Dia pelajar di kelas lain. Apa yang membuat saya sedikit hairan dan kaget adalah kerana pelajar tersebut adalah pelajar yang sering saya marah. Ini kerana, dia agak degil dan nakal, bahkan susah untuk diatur. Ketika hendak solat, dia pasti akan bermain-main dengan teman-temannya, sehingga saya perlu menegurnya hampir setiap hari. Memang pening dan memenatkan mendidik, mengatur dan memberi saran kepada murid-murid yang masih berusia sebegitu (pelajar sekolah rendah). Bukan setakat itu, kadang-kadang saya perlu menakut-nakutkannya dengan memegang rotan, agar dia diam dan tertib ketika solat.

Setelah mengalami pengalaman yang agak sedikit ‘tegang’ itu, dia masih ‘sempat’ memberi hadiah. Dan berharap agar saya suka dengan hadiah itu. Guru mana yang tidak terharu? Ternyata mendidik ini bukanlah suatu perkara yang main-main dan sekadar membentak-bentak pelajar agar mereka mengikut arahan sang guru. Bukan, bukan itu. Jika mereka (pelajar) nakal dan degil dengan status usia mereka yang begitu, ia adalah wajar dan normal. Sememangnya fenomena yang berlaku di sekolah kadang-kadang sangat sukar diduga.

Memang benar, kadangkala pelajar tersebut saya marah, bentak dan merotannya (tidaklah kuat) agar dia sedar bahawa perbuatannya itu adalah salah dan tidak sepatutnya diulangi sekali lagi. Kali terakhir saya memarahinya adalah ketika hendak solat. Ketika itu dia sedang bising kerana berborak dengan kawannya, sedangkan solat Asar hendak dilaksanakan. Lalu, saya pergi ke arahnya, dan mengatakan, “Kalaulah awak tidak menghormati Ustaz sekalipun, cubalah hormat kepada Allah SWT”. Lalu saya beredar pergi ke hadapan dan memulakan solat berjemaah. Mungkin bisikan dan harapan saya ketika itu agar pelajar tersebut berubah, dikabulkan oleh Allah SWT. Buktinya, setelah kejadian tersebut, dia sudah kelihatan berubah walau tidak 100 peratus. Saya bersyukur kepada Allah SWT, Dzat yang menggenggam jiwa hamba-hambanya, dan yang Maha membolak-balikkan hati-hati hamba-hamba yang dikehendakinya, kerana telah memberi kesedaran kepada pelajar tersebut.

Oleh sebab itu, sebagai penjawat profesion guru, seharusnya kita sedar bahawasanya tugas kita bukanlah setakat menyampaikan subjek mata pelajaran sahaja. Lebih dari itu, kita seharusnya menitik beratkan hal-hal yang berkaitan tentang agama Islam di dalam kehidupan. Ini kerana, tugas menyampaikan tentang agama Islam bukanlah tertumpu pada pelajaran-pelajaran seperti Pendidikan Islam yang hanya diajarkan satu atau dua jam seminggu saja. Atau ia hanya dipikul oleh orang-orang yang berstatus sebagai Ustaz/Ustazah sahaja. Tidak, ia salah! Jadi, ketika seorang guru memberi nasihat atau memarahi pelajarnya, seharusnya disentuh hal-hal yang berkaitan hubungan kita (sebagai makhluk) dengan Allah SWT (sebagai tuhan sekalian alam). Ketika mana kita (sebagai guru) memarahi para pelajar, janganlah sampai kita terlalu emosi sehingga membuat mereka muak, takut dan akhirnya membenci kita. Walhasil apa yang kita sampaikan di kemudian hari, bagaikan mencurah air di atas daun keladi. Semua nasihat dan saran yang kita sampaikan akan ditolak mentah-mentah oleh mereka, walau kita merasakan bahawa apa yang kita sampaikan itu adalah benar.

Didiklah para pelajar kita dengan sebaik-baiknya. Ambillah sikap ‘ambil peduli’ dan ‘ambil kisah’ terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Kadang-kadang saya juga merasa terkilan dengan sikap sesetengah guru yang hanya datang sekolah untuk mengajar subjek mata pelajarannya sahaja. Lalu ia pulang tanpa merasa peduli dengan fenomena pendidikan dan atmosfera sosial yang berlaku di sekolahnya. Tidak ketinggalan juga para ustaz dan ustazah di sekolah, yang hanya mengajar inti pati islam secara ‘teoristik’ dan tidak mengaitkannya dalam kehidupan sehari-hari. Apa yang berlaku, para pelajar hanya belajar dan menghafal ilmu Pendidikan Islam itu semata-mata untuk lulus dan mendapat “A”.

Saya yakin, sebagai seorang pendidik (walau baru setahun jagung seperti saya), kita seharusnya memainkan peranan penting untuk mendidik dengan sebaiknya. Sebagai seorang muslim, kita bukan sahaja menjadi pendidik kepada para pelajar, tetapi kita juga mempunyai peranan dan tugas penting sebagai hamba Allah di muka bumi ini untuk saling menyampaikan agama Allah ini kepada siapa sahaja walau sebaris ayat. Di dalam hadis juga menyebutkan bahawa sesungguhnya kita adalah pemimpin kepada manusia lainnya. Baik Pemimpin negara kepada rakyatnya. Seorang suami kepada isteri dan anak-anaknya. Seorang guru kepada anak didiknya, dan begitulah seterusnya. Semua itu, akan dihisab oleh Allah SWT, dan akan menjadi bekal kita kelak di hari akhirat. Semoga tergolong sebagai hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh, dan ditempatkan di tempat yang selayaknya. Ameen…

Wallahu’alam…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: