Lautan Pemikiran

Berfikir Jalan Keimanan

Pesan Untuk Para Siswa Dan Siswi

Posted by thinker on 21/07/2009

Assalamualaikum War. Wab.

Terdetik di hati untuk menulis sebagai buah bicara dari seorang yang cintakan kebenaran. Dan kebenaran yang hakiki itu adalah yang berasaskan Islam. Melihat kejadian yang berlaku baru-baru ini berkaitan tentang isu “puaka”, yang semestinya hangat kerana berkaitan dengan seorang yang menjadi isteri kepada seorang Perdana Menteri tanah air. Isu ini terus mencuat dan semakin hangat ketika ada kejadian menconteng, menceroboh dan cubaan membakar di sebuah dewan Akademi Pengajian Islam (API), 24 Jun lalu. Pihak berkuasa pula bertindak menahan beberapa orang pelajar API sehingga memasuki gelanggang mahkamah untuk dibicarakan. Itulah kronologi sepintas lalu berkenaan isu yang sedang berlaku di sebuah institusi paling tersohor tanah air, Universiti Malaya (UM).

Bagi kebanyakan mahasiswa yang di sebelah pro-Mahasiswa, sudah semestinya akan semakin hangat memperkatakan isu ini dari semasa ke semasa. Apatah lagi setelah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Shazni Munir Mohd Ithnin ditahan oleh pihak polis. Kesan dari peristiwa ini akan timbul beberapa perkara. Pertama, akan timbul teka-teki tentang siapakah pelaku sebenar di dewan API tersebut. Kedua, polemik ini juga akan menimbulkan kebencian dan prejudisme bagi pihak yang berstatus pro-mahasiswa khususnya (dan yang benci kerajaan) kepada pihak berkuasa. Ketiga, mahasiswa akan lebih disibukkan dengan isu ini, daripada isu umat Islam dan memartabatkan Islam itu sendiri.

Berkenaan teka-teki tentang siapakah pelaku sebenar kejadian di dewan API tersebut, sehingga kini belum ada bukti yang kukuh dan konkrit dari mana-mana pihak untuk membuat dakwaan. Jika ada bukti pun, kononnya, ia hanyalah manipulasi fakta yang bias, yang berdasarkan emosi bagi sebelah pihak. Apa yang pasti, belum ada saksi untuk menyabit sesiapa di dalam kes ini.

Iklim yang semakin marak dek kerana campur tangan pihak berkuasa dengan bertindak menahan para siswa API, menunjukkan lagi kepincangan sistem sekular kerajaan Malaysia yang berfalsafah di atas nama keadilan. Padahal, dengan tindakan yang dibuat itu sudah cukup memberi gambaran kepada kita semua tentang kerosakan sistem perlembagaan dan perundangan kini, yang sememangnya tidak berteraskan Islam. Mahasiswa yang mempunyai kecenderungan Islam yang tinggi, sudah tentu akan merasakan kejengkelan tersebut. Dan tidak hairan jika semakin hari, maka semakin ramai mahasiswa yang berlatarbelakangkan pendidikan Agama ini akan semakin membenci pihak berkuasa yang ada a.k.a BN.

Penulisan ini bukanlah untuk menghakimi siapa yang benar atau siapa yang salah. Siapakah dalang, dan siapakah mangsa. Apa yang pasti, kejadian ini kelihatan seakan-akan terancang dan konspirasi pihak tertentu untuk menyemarakkan lagi emosi para penyokong pro-mahasiswa. Walhasil, jika mereka (mahasiswa) tersalah langkah, maka mereka akan menjadi mangsa terkaman dalang kejadian ini semua. Sudah semestinya, dalang tadi akan tertawa terbahak-bahak dek kerana keberhasilannya membuat propaganda. Dan propaganda tersebut sudah pasti, adalah satu bentuk sabotaj kepada pihak yang tidak bersalah. Untuk itu, penulis berasa terpanggil untuk menulis sedikit pesanan kepada para pencinta kebenaran. Kebenaran Islam, kebenaran Al-Quran dan kebenaran Tuhan yang Esa.

Mahasiswa merupakan elemen penting di dalam sesebuah negara. Islam juga mengiktiraf para siswa dan siswi sebagai orang yang menuntut ilmu, dan dimuliakan oleh Allah dan RasulNya, jika niat mereka semata-semata adalah keranaNya. Jadi, sudah seharusnyalah siswa dan siswi yang ada senantiasa menjadikan Islam sebagai landasan berfikir (qiyadah fikriyah) dalam setiap tingkah dan tindakannya. Bukan emosi atau ego yang menjadi titik tolak bagi setiap tindakannya. Bertolak dari asas itu, maka ada baiknya para siswa dan siswi di kampus tidak tertipu dengan helah-helah si dalang yang menginginkan kalian menyibukkan diri dengan hal-hal yang kalian sendiri tidak pernah dan ingin untuk melakukannya. Lalu, kalian terjerat dengan konspirasi mereka itu. Walhasil, kalian terfokus dengan mengadakan demonstrasi-demonstrasi yang menuntut hak-hak anda (di sisi perlembagaan sekular). Padahal ia adalah isu yang perlu kita tangani secara profesional dalam perspektif Islam.

Jika benar kalian dituduh di atas kesalahan yang tidak pernah sekali dilakukan, maka ia bukanlah kerana semata-mata SB atau polis yang sedang mengerjakan kalian. Tetapi, sistem yang diterapkan itulah yang menjadi kunci kepada segala permasalahan dalam kehidupan kita. Mintalah mereka (pihak berkuasa) untuk menerapkan sistem Islam, yang dengan itu, kalian akan tidak akan sesekali menjadi pesalah selagi tiada saksi yang cukup. Dan bagi penuduh akan dikenakan hukuman (sanksi) sebagai pesalah jika tidak mendatangkan saksi yang cukup bagi setiap tuduhannya (rujuk, Nizomul Uqubat Fil Islam, Ahmad Ad-Daur, bab saksi dan pembuktian). Itulah yang sebaik-baiknya bagi kalian. Dan bukannya membuat sebarang prasangka kepada sesiapa, atau membuat polling undian dan seumpamanya. Apatah lagi jika ada ghibah-ghibah yang mengaibkan. Sungguh, ia tidak selayaknya bagi kita sebagai seorang mukmin.

Sememangnya politik yang diajarkan oleh pihak kuffar kepada anak-anak didiknya (khususnya para pemimpin sekarang) sangat menjijikkan. Buktinya, berita-berita berkenaan kejadian ini tidak dipaparkan di dalam akhbar-akhbar perdana tanah air. Isu ini memang akan menjadi asing bagi sesiapa yang tidak pernah ambil tahu tentang isu-isu politik dan kampus. Mereka akan memaparkan apa sahaja yang menyokong segala tindak tanduk mereka. Manakala apa yang menjadi liabiliti mereka, akan mereka tanam sedalam-dalamnya di perut bumi daripada diketahui masyarakat.

Tetapi Islam hadir dengan politik agung yang berbeza sama sekali dengan politik sekular. Politik Islam bertitik tolak dari akidahnya yang mengiktiraf Al-Khaliq sebagai Al-Mudabbir (yang mentadbir). Jadi, politik di dalam Islam akan selalu berpaksi kepada sejauh mana kita memahami hukum syara’ secara mendalam. Dan bukan setakat memahami Islam secara luarannya sahaja. Justeru itu, penulis menyeru kepada sekalian siswa dan siswi yang ada, agar selalu fokus kepada perjuangan yang sebenar-benarnya. Alihkanlah segala perhatian kita kepada memartabatkan Islam sebagai deen yang setinggi-tingginya. Tanamlah emosi-emosi dan ego-ego kita. Bencilah sesuatu golongan kerana Allah membencinya. Dan Allah SWT membenci golongan yang tidak mengamalkan dan menerapkan syariat Islam di muka bumi ini.

“dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44]

“dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45],

“dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47]

Ayuh, segera kita laraskan segala keringat dan lelah kita hanya semata-mata kerana Allah SWT. Segala gerak geri kita, hanyalah untuk mencari redha Ilahi, dan bukan yang lainnya. Fahami Islam dengan sedalam-dalamnya, dan bukan sekadar belajar Syariah, Ushuluddin dan cabang ilmu lainnya hanya sekadar ingin mendapatkan segulung ijazah. Tetapi, harus lebih dari itu, iaitu untuk menyahut seruan Allah SWT agar menjadi orang-orang yang berilmu agar kita tidak rugi di dunia dan akhirat. Akhir kalam, kepada para pejuang yang berstatus mahasiswa, kuucapkan, “Salam Perjuangan”. Semoga kita istiqamah dalam kebenaran dan perjuangan Islam. Ameen.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: