Lautan Pemikiran

Berfikir Jalan Keimanan

Menata Prasasti Hati

Posted by thinker on 08/08/2009

Damai seorang lelaki tergoyah. Dan kini, perasaan damai itu kian pudar. Harapan menunggu email yang dinanti-nanti itu kian ranah dan mustahil ada. Zaki cuba berteka teki dengan sanubarinya, “mungkin ada sesuatu yang salah pada diriku”.

Apakah dia harus menekan tombol-tombol pada keyboard laptopnya, untuk memohon maaf kepada pihak pimpinan, jika memang ia tersalah. Ataukah sekadar mendiamkan diri, tanpa bereaksi apa-apa?

Dia bingung memikirkan sendirian. Dan curhat adalah jalan solusinya. Curhat pada siapa? Tidak mungkin pada isterinya yang sedang sarat dengan keletihan bekerja di rumahnya seharian suntuk. Rasa kasih dan sayang pada sang isteri, memberi sedikit penawar kepada kegundahan hatinya di malam itu.

Biasanya, setelah selesai sesuatu projek untuk sesuatu forum, akan ada kata-kata “tahniah”, sebagai tanda menghargai hasil usaha yang dilakukan oleh AJK khususnya pengarah yang bertanggungjawab. Tetapi, kini setelah tanggungjawab itu selesai dipikulnya, kalimat yang ditunggu-tunggu itu tidak kunjung tiba. Ada apa sebenarnya? Adakah hanya kerana perkara remeh yang dilakukannya tempoh hari, menjadi satu perdebatan dan polemik untuk menabrak dirinya dengan alasan konyol itu?

“Tidak patuh dengan arahan!”

Itulah lirik yang tidak disukainya sejak beberapa hari ini. Kalimat yang masih terngiang-ngiang di gegendang telinganya itu, tidak dapat dihindari begitu saja.

Semenjak beberapa siri meeting sebelum ini, Zaki memang kelihatan sedikit lancang menyuarakan pandangan dan kritikan di kalangan mahasiswa khususnya pihak pimpinan tertinggi mahasiswa. Dia berasa, ada sedikit atmosfera yang kurang sihat berlaku pada kepimpinan Universitinya yang sukar ditegur dan dimuhasabah. Seakan-akan kepimpinan itu sudah menjadi kerusi eksklusif yang kebal daripada sebarang teguran. Ia sudah hilang dari tujuan asalnya sebagai pemegang amanah untuk diterjemahkan dalam bentuk kepimpinan yang sepatutnya. Jati diri sebuah kepimpinan itu lusuh dan sirna baginya. Itulah yang terfikir di dalam benaknya sebelum ini. Dia berharap, tanggapan dan kesimpulannya itu salah, dan tidak pernah wujud sama sekali.

SEND. Email yang baru sahaja dihantar di dalam e-group pihak pimpinan mahasiswa itu, tidak mungkin dapat ditarik balik. Dia cuma berharap email itu sekadar bingkisan yang tersirat di kantung hatinya. Nafasnya kembali diatur, degupan jantungnya kembali kencang. Hatinya semakin berdebar, kemungkinan dan respons apa yang bakal diterima nanti.

Setelah berjeda beberapa minit, mailbox-nya terisi satu email. Pengirim yang bukan diharapkannya. Tapi, sedikit menjadi penambat hatinya yang sedang gundah. Zaki tertarik dengan akhir kalimat Syahir, teman akrabnya itu – “ternyata seorang dai itu tidak hanya dibebani berfikir masalah umat, tetapi seorang dai juga dibebani masalah peribadi dan selisih di dalam jemaahnya…”

Perasaannya cuba disusun kembali, agar jiwanya kembali tenang. Kalimat teman akrabnya itu cuba ditata semula dan cuba difikirkan. Umat ini sudah sekian parah. Apakah benar, masalah peribadinya yang mempengaruhi emosi dan sifatnya ketika ini? Sehingga ia kurang rasional dan su’udzon dalam meneka-neka? Iya, mungkin ada benarnya. Kesimpulan hatinya.

Belum sempat fikirannya tenang, selang beberapa minit, mailboxnya kembali terisi. Dari Abu Hanifah, salah seorang rakannya yang pernah berjaya mengendalikan beberapa siri forum bersama mahasiswa di kampusnya. Terbayang sosok watak temannya itu. Dia memang terkenal dengan sifat yang tenang dan jarang mengambil peduli pandangan orang lain tentang dirinya. Beberapa kali Abu Hanifah ditegur oleh teman-temannya, termasuklah pimpinannya sendiri berkenaan keputusannya yang kadang ‘kurang bertepatan’ dengan cita rasa pihak pimpinannya. Kata-katanya mudah ketika Zaki sempat bertemu dengannya, “ana melakukannya hanyalah demi kebaikan, dan ia hanyalah bersifat teknik dan mubah sahaja. Untuk apa dipersoalkan jika ia tidak menyalahi prinsip perjuangan, apatah lagi hukum syarak”. Mantap, jelas dan tegas jawapannya. Ketika ia ditegur secara direct oleh pimpinannya, ia hanya sekadar diam dan tidak memberi aksi. Apakah diam tanda setuju, dan menerima apa adanya saja. Ataukah dia takut untuk bersuara, kerana khawatir dituduh tidak taat kepada pihak pimpinan. Tidak seorang pun tahu, kerana dia jarang bercerita perihal itu. Dia memang suka bercerita, tapi hanya bercerita berkenaan fikrah dan permasalahan kampus dan mahasiswa. Sedikit salut menaungi karakter temannya itu. “Apakah aku perlu seperti itu?”. Fikirannya cuba merenung. Dalam, tapi belum ada jawapan.

Peti Inbox dibuka. Email dari temannya itu dibaca. Perlahan, teliti dan sedikit diulang-ulang bahasa temannya yang kadang sukar difahami. Kerana Zaki memang sudah terbiasa dengan bahasa akademik. Malah susunan bahasanya sedikit skema, berbanding bahasa teman-temannya yang agak berbahasa pasar dan kadang berkias-kias dengan kiasan yang sukar difahaminya.

“jangan layan sangat perasaan tu. Biarlah rasa terkilan itu berlalu begitu saja, dan jangan diapi-apikan sehingga menyala dan memarakkan bahang yang tak sepatutnya. Ayuh, mari kita terus beraksi, tanpa peduli apa kata hati”.

Zaki kembali merenung. “… kembali beraksi, tanpa peduli apa kata hati”. Ayat yang mendalam, walau ia mungkin ditulis dengan spontan oleh si penulisnya.

Perlahan pandangannya meniti ke rak-rak bukunya yang tersusun rapi. Barisan buku-bukunya yang dibelinya ketika ke Bandung tahun lalu, yang berkali-kali jauh lebih murah berbanding harga yang dijual di sini.

Segenap pandangannya ditumpukan pada rak itu. Namun, pandangannya terpaku pada satu buku yang pernah dikhatamkannya satu ketika dulu. Buku yang pernah mendidik dirinya menjadi lelaki berkeperibadian Islam.

Min Muqawwimat Nafsiyah Islamiyah. Kitab karangan seorang ulama di timur tengah. Tangannya cuba mengangkat dan membuka lembaran-lembaran kitab yang pernah menjadi sahabatnya ketika lalu. Di dalam bab 7, 8 dan 9, Zaki menemukan cahaya bening yang dapat menyirami kalbunya yang sedikit suram itu. Berharap rahmat hanya pada Allah, dan tidak putus asa dari rahmatNya. Itulah bab yang menjungkir hatinya yang tercalar itu tadi. Lalu, sabar menghadapi cubaan serta senantiasa redha terhadap apa yang menimpa kita (Qadha). Surah Al-Baqarah ayat 214 itu sedikit menggugah akal dan menggetarkan jiwanya.

Cubaan ini sangat kecil, jika dibandingkan apa yang terjadi pada Nabi dan para sahabatnya. Dan mungkin, ia tak selayaknya dipanggil cubaan, kerana ia adalah peristiwa kecil yang langsung tidak pernah memudaratkan diriku. Hatinya cuba bermonolog. Seketika dia membaca firman Allah SWT:

لِّلَّذِينَ أَحْسَنُواْ الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ وَلاَ يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلاَ ذِلَّةٌ أُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“Untuk orang-orang Yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan Segala kebaikan serta satu tambahan Yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya”. [TMQ Yunus[10]: 26]

Duhai Allah, tuhan yang maha ESA. Kebesaran dan Keagungan hanya milikMu ya Allah. Tiada daya dan upaya melainkan seizinMu. Pelupuk air matanya berlinang di bawah naungan petunjuk yang muncul tiba-tiba setelah membaca kitab di hadapannya itu.

Bukankah ikhlas dan tawakal pernah tertanam di dalam jiwa dan sanubarinya semenjak hari itu. Iya, semenjak hari itu. Sejak ia membayar harga keimanan dengan sebuah ketulusan untuk senantiasa mengabdi kepada Allah SWT. Tanpa mengira, sama ada orang lain suka atau tidak. Ia meyakini bahawa zat yang kuasa tidak mensia-siakan hamba-hambanya.

Kembali dia mengimbas kembali email temannya tadi. “… kembali beraksi, tanpa peduli apa kata hati”. Mungkin itulah yang dimaksudkan temannya itu. Membuat segala perkara yang baik itu dengan bersungguh untuk menggapai redha Ilahi. Sabar, ikhlas dan tawakal. Semua perkara memang tidak pernah lepas dari dugaan, apatah lagi dalam masalah dakwah yang penuh dengan onak dan duri.

Zaki sedar, bahawasanya membaca sebuah buku tidak sama dengan mengamalkan apa yang terkandung di dalam buku. Mengkhatamkan sesebuah buku, tidak sama dengan mengaplikasikan sebuah ilmu yang termuat di dalam buku. Kini, azamnya kembali bersinar dan menyala. Ada titisan embun yang sedang mengalir di dalam jiwa dan sudut pandangnya. Malam itu, ia tersenyum sambil mendakap buku yang akan dibacanya berulang-ulang walau telah ia khatamkan. Tapi, ia tidak merasa bahawa ia perlu menutup kandungannya untuk dibaca. Kerana, ia masih merasa perlu menatap keteduhan dari bait-bait kalimat Al-Quran dan lantunan hadis dari Rasulullah SAW yang terkandung di dalam buku itu sebagai pedoman hidupnya…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: