Lautan Pemikiran

Berfikir Jalan Keimanan

Fungsi Masjid Di Dalam Sistem Sekular Berbeza Dengan Sistem Khilafah

Posted by thinker on 16/12/2009

10 lagi masjid di Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Umat Islam di Wilayah Persekutuan khususnya, harus bersyukur dengan peruntukan yang diberikan kerajaan untuk membina masjid.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali (gambar) memberitahu, sebanyak 10 buah masjid lagi akan didirikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK- 10).

“Jika dibandingkan dengan Singapura, orang-orang Melayu di sana mengumpul duit sendiri dan membuat potongan gaji bagi mendirikan masjid.

“Satu jengkal tanah pun mereka terpaksa beli untuk membina sebuah masjid yang mencecah RM50 juta kerana tiada peruntukan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian berkhatan beramai-ramai peringkat Bandar Tun Razak di Masjid Al-Najihin di sini hari ini.

Majlis berkhatan tersebut adalah yang terbesar diadakan dalam kawasan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan apabila berjaya menarik 130 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak seawal usia lima tahun.

Hadir sama pengerusi penganjur yang mewakili persatuan-persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bandar Tun Razak, Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi.

Dalam pada itu, Che Mat berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM12 juta untuk membina Masjid Al-Najihin yang dijangka akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2010.

Selain itu, beliau turut memberitahu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM130 juta untuk membina sebuah sekolah menengah agama beserta asrama berdekatan masjid tersebut.

“Setiap tahun, kita akan mengambil sebanyak 1,000 pelajar cemerlang untuk belajar di sekolah tersebut yang akan mula beroperasi pada tahun 2012,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Che Mat menyeru supaya masyarakat memusatkan aktiviti kemasyarakatan di masjid selain membina perpaduan antara satu sama lain.

Beliau berkata, sekiranya umat Islam berkrisis sesama sendiri, akan wujud suara sumbang yang akan mempertikaikan pembinaan masjid bukan sahaja di Wilayah Persekutuan tetapi juga di Malaysia.

Tambah beliau, masjid juga seharusnya tidak dijadikan tempat mengadu-domba atau membawa ideologi tertentu yang memecah belahkan masyarakat setempat.

“Sekiranya masjid di Wilayah Persekutuan digunakan untuk tujuan politik, maka saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang tidak mengikut peraturan,” katanya.

Walaupun begitu, tegasnya, adalah menjadi strategi JAWI untuk terlebih dahulu bersemuka, berbincang dan menasihatkan pengajar, ustaz atau orang yang mengajar agama tanpa tauliah, sebelum sebarang tindakan diambil.

“Sekiranya mereka didapati mengulangi kesalahan sama (mengajar tanpa tauliah), maka tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 11, Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan),” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 14/12/09

Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: “Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid”.  (H.R Abu Daud)

Sememangnya masjid merupakan tempat ibadah bagi kaum Muslimin, dan ia merupakan simbolik dan syiar bagi agama Islam di seluruh dunia dari dahulu sehinggalah sekarang. Pada zaman Rasulullah SAW, masjid dibina bukan setakat untuk kaum Muslimin menjalankan aktiviti ibadah solat sahaja. Tetapi, masjid dijadikan sebagai tempat menyelesaikan segala permasalahan. Semasa di Madinah, orang ramai akan datang ke masjid untuk berjumpa dengan Rasulullah untuk meminta pandangan bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku ketika itu. Dengan kata lain, di situlah tempat penghakiman sekaligus pusat pemerintahan Islam. Tidak ada pemisahan antara aktiviti ibadah dan politik, kerana Islam memandang politik merupakan sebahagian daripada Islam yang perlu dijalankan oleh seluruh kaum Muslimin. Kaum Muslimin seluruhnya berhak mengutarakan pendapat, nasihat dan pandangan yang makruf di dalam masjid tanpa perlu adanya lesen daripada manusia, kerana ia merupakan hak bagi setiap individu Muslim dalam kehidupan yang ditaklifkan oleh Allah SWT ke atas mereka.

Berbeza dengan peranan masjid di dalam sistem sekular saat kini. Masjid didirikan hanya sebagai sebuah entiti untuk bermegah-megah. Tidak jarang sekali kita mendapati masjid yang didirikan hanyalah sebagai sebuah bangunan yang tersergam indah dengan seni binaannya bernilai jutaan ringgit, namun sunyi daripada penghuni yang mengunjunginya. Yang datang ke masjid dan surau hanyalah imam, bilal dan ahli kariahnya sahaja. Masjid hanya akan dilimpahi oleh jemaah pada waktu solat Jumaat, Hari Eid (Hari Raya Idul Fitri dan Adha) dan hari-hari tertentu lainnya sahaja. Bukan setakat itu, mimbar-mimbar ceramah hanya akan diisi oleh slot-slot tazkirah yang dikarang oleh pihak kerajaan, dan jarang sekali terdapat teks khutbah yang memuhasabah pemimpin kerana tidak menerapkan sistem Islam dalam kehidupan. Isu tauliah dijadikan bahan untuk menyekat individu-individu dan gerakan-gerakan Islam yang ikhlas untuk menyampaikan dakwah Islam yang sebenar-benarnya. Apa yang paling menyedihkan ialah, apabila masjid-masjid yang ada dijadikan sebagai tempat-tempat perlancongan tanpa adanya penghayatan sama sekali berkenaan peranan masjid di dalam sebuah institusi negara. Binalah seberapa banyak masjid, ukirlah ukiran yang berbagai-bagai, namun ia tidak akan dapat mengembalikan kegemilangan Islam jika peranan masjid tidak mengikut seperti apa yang telah dicontohkan oleh suri tauladan kita, iaitu Baginda Nabi Muhammad SAW yang menjadikan masjid sebagai tempat penghayatan Islam dalam segenap aspek, bukan sebagai tempat aktiviti ibadah ritual semata-mata.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: