Lautan Pemikiran

Berfikir Jalan Keimanan

Belajarlah Untuk Menghargai Orang Lain

Posted by thinker on 21/12/2009

Setiap kali saya makan atau minum di kedai, terutama di kedai nasi kandar (kedai mamak), saya akan mengucapkan “terima kasih” kepada pekerja yang menghantar hidangan ke meja saya. Saya menganggap ucapan “terima kasih” itu sangat layak diucapkan oleh sesiapa sahaja untuk orang-orang yang berjasa kepada kita. Tidak kira warna kulit dan status mereka. Mereka adalah manusia yang bekerja keras agar makanan dan minuman sampai ke meja kita. Di samping mereka menjalankan aqad kerja (dengan majikan) dengan baik dan bertanggungjawab. Dengan lampiran senyum, ucapan itu saya iringi dengan reaksi yang ramah dengan harapan agar mereka senang dan bahagia, dan agar mereka tahu bahawa sesungguhnya mereka bukanlah orang yang ”hina”, kerana pekerjaan mereka adalah pekerjaan yang halal dan mulia.

Seringkali saat saya makan di kedai-kedai nasi kandar, para pelanggan di situ kebanyakannya bersikap ’kurang ajar’ pada pandangan saya. Mereka berbicara dengan nada yang tidak sopan. Kalau pun waiter yang membawa air itu tersalah membawa order, tidaklah layak kita menghina dan mengeluarkan kata-kata kotor, apatalahgi dengan menggunakan bahasa reka-rekaan yang berbaur TAMIL. Jorok dan menggelikan sikap sedemikian rupa. Apakah kita bangga dengan rasis bangsa melayu, sehingga sanggup menghina bangsa lain yang kontra warna kulit dengan kita? Adakah selama hidup kita tidak pernah melakukan khilaf dan kesalahan? Jelaskan dan datangkan fakta berkenaan manusia mana yang selalu melakukan dengan standard sempurna dan kamil!

Iya, warna kulit memang berbeza. Bahasa kita dengan ’mereka’ juga berbeza. Namun, pernahkah kalian terdengar dialog P.Ramlee:

”Kamu selalu berbangga dengan darah keturunanmu. Sekarang cubalah bandingkan darahmu dengan darahku!”

Iya, DARAH! Salah satu elemen manusia yang tidak pernah menentukan tinggi atau rendahnya seseorang itu hanya kerananya. Tidak ada orang yang mulia kerana darah. Walau ada orang menganggap darah keturunan seseorang itu ada yang tinggi dan rendah. Pada hakikatnya, itu pembohongan semata. Dalil dan nas tidak mengatakan sedemikian rupa. Pahala dan dosa tidak pernah menyambar seseorang kerana status darahnya. Syurga dan neraka tidak pernah ’ditempah’ oleh sesiapa dengan asalan darahnya. Lalu, masih adakah manusia yang perlu dengan merasa angkuh mengaku dirinya lebih baik dan mulia berbanding orang lain? Lebih baik tukang beca yang mengajak kepada ketakwaan berbanding sang ustaz yang hanya pandai berbicara kosong semata. Lebih baik seorang mamak yang beradab berbanding pengetua sekolah yang hanya pandai bersikap arogan dan berlagak angkuh di depan manusia lainnya.

Adakah kita sudah belajar untuk senantiasa menghargai orang lain? Walau dengan hanya memberi ucapan ”terima kasih” ??? Percayalah, bahawa ia tidak perlu mengeluarkan sebarang modal! Jika tidak percayalah, ucapkanlah terima kasih sekarang, dan periksalah kocek dan dompet anda. Maka akan kalian dapati, bahawa wang kalian tidak akan berkurang… Wallahu’alam…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: