Lautan Pemikiran

Berfikir Jalan Keimanan

Penghargaan Yang Tidak Bermakna Di Sisi Allah SWT

Posted by thinker on 26/01/2010

Menghargai potensi wanita

Dari segi pendidikan, kira-kira 65 peratus daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009/2010 ialah wanita.

DALAM satu penyelidikan oleh Grant Thornton International pada April lepas menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat kelima di seluruh dunia dengan 31 peratus wanita memegang jawatan kanan dalam Perusahaan Sederhana hingga Besar (PSB) negara.

Ia merupakan satu peningkatan lapan peratus daripada 23 peratus pada 2007, kata SJ Grant Thornton dalam satu kenyataan.

Sejumlah 39 peratus perniagaan di negara ini mempunyai kegiatan lebih ramai wanita yang memegang jawatan kanan, kata firma itu.

“Kerajaan bersetuju dengan dasar bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada semua jawatan tertinggi dalam sektor awam kelaknya akan dipegang wanita.

“Dengan dasar yang menyokong ini, kita akan dapat melihat lebih ramai pengurusan kanan wanita yang berkeupayaan menyumbang dalam banyak organisasi dalam sektor yang berbeza seperti ekonomi, kerajaan, perkhidmatan kewangan, pembuatan, runcit, penjagaan kesihatan dan banyak lagi,” kata rakan kongsi urusan SJ Grant Thornton, Datuk N. K. Jasani.

Statistik itu ternyata menunjukkan bahawa peluang wanita di negara ini untuk memperjuangkan peranan mereka sentiasa terbuka. Tidak hairan jika wanita Malaysia pada hari ini layak mengetuai kementerian, bank pusat, suruhanjaya sekuriti, universiti dan bank di samping menjadi peneraju syarikat multinasional.

Keusahawanan

Tahun 2009 menyaksikan semakin ramai wanita di Malaysia memilih bidang keusahawanan sebagai haluan kerjaya sekalipun menghadapi pelbagai cabaran seperti kekurangan sokongan kewangan dan persaingan di pasaran.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, pada Jun lepas berkata, kerajaan mengambil berat tentang cabaran ini dan kementerian berkenaan telah ditugaskan mengenal pasti faktor-faktor yang menghalang seseorang itu daripada maju dalam perniagaan.

Mei Fun berkata 99 peratus daripada syarikat kecil dan sederhana di negara ini terlibat dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian dan wanita memiliki 16 peratus daripadanya, yang kebanyakannya dalam sektor perkhidmatan.

“Usahawan wanita Malaysia juga semakin diiktiraf sebagai pemain utama dalam ekonomi, khususnya Keusahawanan Kecil dan Sederhana (SME). Malah, ada yang mendapat pengiktirafan dalam pelbagai bidang oleh kerana mereka sekarang mengetuai beberapa syarikat multinasional yang biasanya didominasi oleh lelaki,” katanya.

KEMAMPUAN Senator Datuk Armani Mahiruddin mendapat kepercayaan ramai hingga melayakkan beliau berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ke-11.

Dari segi pendidikan, pencapaian kaum wanita jelas mendahului lelaki. Ini terbukti apabila kira-kira 65 peratus atau 26,200 daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009/2010 ialah wanita.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi, berkata masalah jumlah calon pelajar wanita jauh mengatasi lelaki ke IPTA tidak dapat dielakkan kerana pemilihan dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi.

Walaupun perbezaan gender ini sering ditimbulkan setiap tahun namun tiada cara untuk mengatasinya. Dasar pengambilan pelajar berasaskan prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi menentukan nilai merit seseorang calon.

Bagaimanapun, jumlah pelajar lelaki melebihi wanita dalam bidang tertentu khususnya kejuruteraan kimia, sivil dan mekanikal manakala pelajar perempuan selalunya meminati bidang yang ‘bersih” seperti penyelidikan dalam makmal dan tidak membabitkan kegiatan lasak berbanding lelaki.

Mengukir nama

Sepanjang tahun ini, negara menyaksikan beberapa pencapaian cemerlang daripada kaum wanita yang antaranya pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David, 26, mencatatkan tujuh kemenangan daripada 11 kejohanan peringkat dunia yang disertai musim ini.

Paling membanggakan, kerajaan telah secara rasmi membuka Gelanggang Utama Pusat Skuasy Nasional di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dengan menamakannya Arena Nicol David.

Sementara itu, pelantikan Senator Datuk Armani Mahiruddin, 52, dari Sabah sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ke-11 membuktikan kepercayaan kerajaan akan kebolehan wanita memimpin badan penggubal undang-undang tertinggi negara.

Pelantikan Armani, yang juga Exco Wanita UMNO, mencatat sejarah kerana buat pertama kalinya wanita diberi pengiktirafan menyandang jawatan itu.

Pelantikan Armani akan menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk bekerja lebih keras memajukan diri dalam apa jua bidang profesional lain di samping dianggap bertepatan pada masanya dan selaras dengan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan.

Manakala Kongres Jenama Dunia 2009 telah memberikan Anugerah Kepimpinan Jenama kepada Presiden Institut Pemasaran Malaysia (IMM), Datuk Sharifah Mohd. Ismail di Mumbai November lepas.

Penganugerahan itu menjadikan beliau wanita profesional pertama dari Malaysia untuk merangkul anugerah antarabangsa berkenaan.

Malaysia juga mempunyai juruterbang wanita tunggal bagi pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), MiG-29N, Mejar Patricia Yapp Syau Yin, 33, dari Sandakan, Sabah.

Kerajaan dilihat tetap komited untuk terus menggerakkan agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita agar mereka dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menambah pendapatan dan meningkatkan kualiti hidup masing-masing.

Sepanjang tahun 2009 ini, terdapat program tertentu yang disediakan oleh pihak kementerian, agensi yang berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan yang memberi peluang kepada wanita untuk menceburi bidang-bidang profesional dan keusahawanan.

Jika golongan wanita bijak merebut peluang ini, sudah pasti wanita akan dapat menggilap bakat, mengasah keupayaan dan meningkatkan lagi kualiti dan kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak akan ketinggalan dalam arus globalisasi yang pesat berkembang. – Bernama

Sumber: Kosmo Online 25/01/10

Penghargaan Yang Tidak Bermakna Di Sisi Allah SWT

Macam-macam penghargaan yang dicipta untuk diberikan kepada para wanita di dalam Sistem Kapitalis. Ada yang menang ini dan itu, lalu diberikan hadiah dan pangkat, dengan alasan mengharumkan nama negara. Padahal mereka lupa, bahawa kemenangan si atlit hanya mengobarkan lagi semangat ashobiyah dan nasionalisma. Pangkat dan darjat kebesaran diberikan kepada orang yang bergelar wanita, lalu mereka dibangga-banggakan kerana kedudukan mereka itu. Walhal, kedudukan mereka itu sama sekali tidak bernilai di sisi Allah SWT. Bahkan, ianya hanya mengundang murka Allah SWT, sepertimana perlantikan Armani Mahiruddin sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ke-11. Kedudukan yang disandang oleh Armani Mahiruddin itu, adalah sebagai saksi secara langsung orang-orang yang ’bertarung’ untuk mencipta hukum akal-akal yang lemah dan terbatas. Malaysia kini mempunyai juruterbang wanita tunggal bagi pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), MiG-29N, Mejar Patricia Yapp Syau Yin, 33, dari Sandakan, Sabah. Tapi, untuk apa wujudnya pemandu dan jet pejuangnya, jika kedua-duanya digunakan hanya untuk pemanduan selain berjihad di jalan Allah?

Di bidang pendidikan, kira-kira 65 peratus bilangan wanita secara keseluruhan berbanding lelaki atau 26,200 daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009/2010 haruslah dilihat secara mendasar. Ia memang suatu kebanggaan, apabila melihat angka-angka secara banyak atau sikit. Namun, Sistem Pendidikan yang ditawarkan di dalam Sistem Kapitalis tidak menjamin terbentuknya sahsiyah Islamiyah (keperibadian Islam) kepada para penuntutnya. Sistem Pendidikan sekarang juga masih membebankan dengan kadar kos pembelajaran yang tinggi dan terhadnya jumlah ’kerusi’ pembelajaran yang ditawarkan. Jika ada pun alternatif, maka ianya akan lebih membebankan dan menyengsarakan. Ditambah pula dengan pelbagai karenah sistem dan birokrasi yang menyukarkan. Itulah hakikat sistem pendidikan di dalam Sistem Kapitalis. Walau pun ramai penuntut yang berjaya di dalam bidang masing-masing, namun masih belum berhasil mencipta para mujtahid sepertimana yang berlaku di dalam daulah Islamiyah satu ketika dahulu.

Apabila kita menelusuri sirah pada masa lalu, tercatat ramai para Sahabiyyah dan Ummul Mukminin yang hebat seperti Siti Khadijah RA, Aisyah binti Abu Bakar RA, Sahabiyyah Asma’ Abu Bakar, Sumayyah, Kabsyah binti Rafi’ dan ramai lagi.  Mereka dimartabatkan sebagai hebat berdasarkan kekuatan akidah dan keteguhan pegangan akidah mereka yang kemudiannya memancarkan perilaku yang sangat hebat menurut syara’ dan kesungguhan mereka dalam memastikan sinar Islam terus dibela, yang mana tidak ada seorang pun wanita sehebat mereka pada ketika ini. Inilah perilaku yang seharusnya dikejar oleh para wanita pada saat ini dan pada masa hadapan. Mereka bukan setakat mulia dalam pandangan manusia, bahkan Allah SWT akan meninggikan darjat dan martabatkan mereka dengan balasan syurgaNya kelak.

Wahai kaum Muslimin dan Muslimat, apakah yang perlu kita banggakan dengan sejuta penghargaan yang diberikan oleh Sistem Kapitalis para Muslimat kita, jika bukan redha Allah SWT yang diraih? Ayuhlah bangkit dengan kefahaman Islam yang murni dan kaffah, agar umat Islam menjadi umat yang terbaik (khairah ummah), sekaligus akan lahir ramai lagi srikandi-srikandi Islam yang benar-benar memperjuangkan Islam, sepertimana yang berlaku pada zaman salafus soleh satu ketika dulu. Allahumma Ameen.

2 Responses to “Penghargaan Yang Tidak Bermakna Di Sisi Allah SWT”

  1. ummuhanah said

    salam thinker,

    seksi seksi juga gambor2 wanita yg termuat dalam blog thinker ni…kak cik bimbang thinker terganggu pula…😀

    apa pun, tulisan yg mantop…keep up the good work

  2. thinker said

    w’salam…

    maaf, sy tidak bermaksud apa2 ttg gambar tu… itu adalah gambar asal dripada keratan akhbar yang sy ulas. Jadi, harap x disalah erti… wallahu’alam…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: