Lautan Pemikiran

Berfikir Jalan Keimanan

Tentang Tema

fikir

Berfikir Jalan Keimanan

Sebelum terjadinya sebarang polemik dan kontroversi, saya tergerak untuk menulis  berkenaan motto blog peribadi saya ini, yang mengangkat tema “Lautan Pemikiran – Berfikir Jalan Keimanan”.

Yang menjadi buah bicara bukanlah frasa ‘Lautan Pemikiran’ itu, kerana ia bersifat umum dan tidak perlu ada polemik di dalamnya. Cuma yang menjadi bahan bicara adalah frasa ‘Berfikir Jalan Keimanan’. Saya tidak pasti, bila saya menguras akal fikiran untuk mendapatkan tema itu. Cuma apa yang pasti, saya terinspirasi dari tajuk awal di dalam buku “Nidzomul Islam” (Peraturan Hidup Di Dalam Islam), karangan Syeikh Taqiyuddin AN-Nabhani, di dalam topik ‘Thoriqul Iman’ (Jalan Menuju Keimanan). Ia diperkuat pula dengan karya bukunya yang lain yang berjudul ‘At-Tafkir’ (Hakikat Berfikir). “Lautan Pemikiran” adalah berupa sejumlah pemikiran-pemikiran yang jumlahnya diibaratkan lautan, namun masih tidak dapat dibandingkan dengan keluasan Ilmu Allah SWT:

“Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).” (TQS Al-Kahfi[18]: 109)

“Berfikir Jalan Keimanan” adalah berupa metode yang perlu ditempuh oleh setiap manusia untuk mengenal tuhanNya, dan bukan dengan jalan taklid seperti yang terjadi oleh majoriti umat manusia saat ini. Berikut saya kupas dengan lebih rinci, bagaimana sesuatu akidah yang benar dapat dicapai dengan metode pemikiran yang rasional, lalu disokong pula dengan dalil-dalil yang bersumberkan dari wahyu.

Aqidah Yang Memuaskan Akal Dan Sesuai Dengan Fitrah Manusia

Akal adalah aset terpenting yang dimiliki oleh manusia. Dengan akal, manusia mampu berfikir, dan dengan berfikir manusia dapat menentukan sikap dan tindakannya. Pemikiran (fikrah) atau pengetahuan yang masuk pada diri seseorang kemudian difikirkan dan akhirnya menjadi suatu pemahaman yang berkait erat dengan sikap dan tindakan. Jadi, pemahaman (mafhum) seseorang terhadap sesuatu akan menentukan sikap dan tindakannya terhadap sesuatu.

Fikrah yang sudah menjadi mafhum ini merupakan kunci jatuh bangunnya individu, masyarakat serta umat.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu mengubah keadaannya sendiri.”(TQS. Ar-Ra’d[13]: 11)

Adapun fikrah yang mampu membawa individu atau umat untuk bangkit adalah fikrah yang mendasar, iaitu fikrah menyeluruh yang mempersoalkan posisi manusia di alam semesta ini, sekali gus menjawab permasalahan utama yang ada pada diri manusia, yang muncul sejak kelahirannya lagi. Dari mana aku? Untuk apa aku lahir ke dunia? Dan akan ke mana aku setelah mati?

Untuk menjawab ketiga-tiga pertanyaan tersebut, hanya fikrah yang paling mendasarlah yang dapat menjawab dan memecahkan permasalahan yang muncul dalam kehidupan. Fikrah tersebut disebut sebagai AQIDAH, iaitu pemikiran yang paling mendasar dan menyeluruh tentang alam semesta, kehidupan dan manusia serta hubungan ketiganya (alam semesta, kehidupan, dan manusia) dengan alam sebelum dan sesudah dunia. Jika kita kaitkan tentang gagasan yang disebutkan di atas, ada tiga aqidah yang mampu menjawab pertanyaan tadi, iaitu aqidah Komunis, Kapitalis dan Islam. Sebagai contoh jawaban Komunis terhadap tiga pertanyaan utama tadi adalah :

Pertama : Manusia berasal dari materi, dan manusia tidak diciptakan oleh siapa pun.

Kedua : Disebabkan tidak diciptakan oleh siapa pun, maka manusia berhak menjalani kehidupan di dunia dengan bebas.

Ketiga : Manusia berasal dari materi, maka apabila manusia itu binasa akan kembali pula kepada materi.

Dengan demikian, permasalahan kehidupan mereka sudah terjawab, dan mereka bakal bangkit. Meskipun kebangkitan mereka menuju jahanam.

Sedangkan Aqidah Islam mengatakan “Tiada Tuhan selain Allah”. Ertinya beriman bahawa alam semesta berserta isinya ada penciptanya, iaitu Allah SWT. Dan Allah juga menurunkan suatu aturan yang baik untuk alam, kehidupan serta manusia. Alam dan kehidupan menerima aturan tanpa menolak sedikit pun, sedangkan manusia boleh menolak, dan boleh juga menerima. Oleh kerana itu Allah SWT menurunkan para Rasul, dan Rasul terakhir adalah Nabi Muhammad saw. Di samping itu, manusia harus beriman kepada segala apa yang termaktub di dalam Al-Quran yang merupakan firman Allah SWT. Tidak ada satu pun yang layak ditolak, termasuk berita-berita mengenai alam ghaib, seperti malaikat, jin, iblis, hari kiamat, hari pembalasan, adanya syurga, neraka dan sebagainya.

Pengertian Mabda’

Pengertian Mabda’ dapat ditinjau dari dua segi, iaitu:

Makna bahasa, diambil dari bahasa aslinya iaitu bahasa Arab, Mabda’ berasal dari suatu bentukan masdar mimy dari kata bada’a – yabda’u – bad’an –wa Mabda’an, yang bererti memulai.

Dari segi Istilah, Mabda’ adalah aqidah yang berdasarkan akal (Aqidah Aqliyah) yang melahirkan aturan (nidzom). Ia juga dapat difahami, bahawa Mabda’ adalah aqidah aqliyah yang memancarkan satu bentuk peraturan. Peraturan yang lahir dari aqidah ini, berfungsi untuk menyelesaikan berbagai permasalahan kehidupan manusia, yang menjelaskan bagaimana cara pelaksanaan pemecahannya, memeliharanya serta untuk menyebarluaskannya (rujuk: wikipidea). Ia juga menjelaskan tentang tatacara pelaksanaan pemeliharaan aqidah dan pengembangan risalah dakwah, dan inilah yang dinamakan thariqah. Adapun aqidah dan berbagai pemecahan tentang masalah kehidupan pula dinamakan fikrah. Oleh yang demikian Mabda’ mencakup dua bahagian iaitu fikrah dan thariqah.

Mabda’ hanya wujud pada manusia yang merupakan satu-satunya makhluk yang mampu menerima dan menumbuhkan Mabda’ tersebut. Mabda’ yang berkembang berdasarkan akal ada dua kelompok, iaitu :

  1. Mabda’ yang berasal dari wahyu Allah SWT
  2. Mabda’ yang berasal dari kepintaran/kecerdikan seorang manusia.

Keduanya-dua merupakan asal muasal suatu Mabda’. Mabda’ yang berasal dari wahyu Allah SWT, pasti kebenarannya (qoth’i). Sedangkan Mabda’ yang lahir dari kepintaran seorang manusia layak diragukan (dzonni), kerana berasal dari benak manusia yang terbatas yang bersifat dugaan, kira-kira dan ada kemungkinan salah. Juga terpengaruh lingkungan yang manusia diami. Misalnya marxisme yang membangkitkan komunisme dan sosialisme. Mabda’ ini lahir kerana terpengaruh dengan kondisi saat itu, iaitu Eropah Barat semasa Revolusi Industri. Jadi ia terbatas hanya pada zaman itu saja, perubahan zaman akan diikuti perubahan lingkungan dan permasalahan yang timbul. Oleh yang demikian, Mabda’ yang benar adalah Mabda’ yang lahir dari wahyu Allah sahaja, sebagai Tuhan Pencipta alam semesta yang mengetahui segala sesuatu di dalamnya termasuk manusia, lengkap dengan segala permasalahannya.

Pengertian Mabda’ yang mencakup fikrah dan thariqah di atas dapat digunakan untuk menguji apakah sesuatu idea itu boleh dikatakan Mabda’ atau bukan. Jika kita lihat di dunia saat ini, hanya ada tiga Mabda’ iaitu: Sekularisme, Sosialisme/Komunisme dan Islam. Mabda’ Sekularisme dipelopori oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya di khususnya Negara Eropah. Mabda’ Sosialisme/Komunisme yang dulu diasaskan oleh Rusia dan sekutu-sekutunya di Eropah Timur. Sedangkan negara-negara dunia ketiga hanyalah daerah jajahan kedua kelompok tersebut. Adapun Mabda’ Islam sekarang belum diemban oleh satu negarapun. Islam masih hidup dibenak umat pengemban da’wah, itupun hanya beberapa persen saja, sebab umat Islam yang lain benar-benar beriman kepada Sekulisme dan Sosialisme.

Adapun fikrah dan thariqah dalam suatu Mabda’ tidak menentukan Kesahihan (benar atau salah) suatu Mabda’. Tapi yang menjadi faktor benarnya suatu Mabda’ adalah kebenaran tentang aqidahnya. Aqidah yang sahih (benar) memiliki tiga kriteria, iaitu : sesuai dengan fitrah manusia, memuaskan akal dan memberikan ketenangan jiwa. Mabda’ yang berlandaskan pada aqidah yang sahih adalah Mabda’ yang akan memperoleh kebangkitan sahih, iaitu kebangkitan yang mengarah kepada kebahagiaan hakiki.

Perbandingan Mabda’

Kali ini untuk dapat mengetahui hakikat dari masing-masing Mabda’ yang ada saat ini, bererti kita harus membuat perbandingan yang mencakup beberapa segi di antaranya :

Asas Sekularisme/Kapitalisme

adam_smith Mabda’ ini muncul kerana dosa gereja masa lalu. Sejak berkuasa ketika kerajaan Rom hingga abad pertengahan di Eropah, gereja bekerja sama dengan kaum bangsawan (feudal) terus menerus menindas rakyat. Sebodoh-bodohnya bangsa Eropah, lama-kelamaan merasa muak terhadap gereja, khususnya ketika zaman Renaissance (lahir kembali) yang muncul dan berkembang di Eropah. Sehingga terkenal satu slogan Revolusi Perancis: “Gantunglah feudal terakhir dengan usus pendeta terakhir”. Ertinya, kedua-duanya harus dilenyapkan (dibunuh).

Dari sinilah, lahirnya perselisihan di antara kaum intelektual dengan kaum gereja yang bekerjasama dengan golongan bangsawan. Pihak gereja sebagai kaum yang mengatas namakan Tuhan, menginginkan kekuasaan penuh. Sebaliknya golongan intelektual menghendaki agar agama dilenyapkan, kerana menimbulkan malapetaka bagi umat manusia. Pendapat intelektual tersebut tidak terlepas dari keterbatasan manusia yang dipengaruhi lingkungannya. Mereka menganggap bahawa agama itu hanya Kristian, dan mereka mengenal Kristian itu bejat, sehingga mereka menganggap bahawa agama itu bejat. Oleh kerana itu, mereka bersikeras untuk menyingkirkan agama dari kehidupan rakyat. Perbalahan terus berlanjutan disebabkan dua keinginan yang berbeza, iaitu keinginan mempertahankan kekuasaan, dan yang lain ingin merebutnya.

Setelah sekian lama, terutama setelah kaum gereja semakin terasing, akhirnya ditemukan jalan tengah berupa kompromi, iaitu dengan memenangkan kedua belah pihak. Keberadaan pihak gereja (agama) masih diakui, tetapi tidak boleh mengatur kehidupan. Yang berhak mengatur kehidupan adalah manusia. Mereka menganggap Tuhan ibarat jam kecil (God is watch maker). Setelah diciptakannya jam kecil tersebut, maka ia dibiarkan berjalan sendiri. Mereka percaya, bahawa Allah menciptakan alam semesta ini, namun alam ini kemudian berjalan dengan sendirinya. Mereka mengakui adanya hukum alam sebagai bukti kewujudan tuhan. Namun, ahli falsafah mengambil data ilmiah yang ditemukan oleh Isaac Newton (setelah membaca literatur-literatur Islam) berupa hukum “Graviti”, lalu menyimpulkan bahawa alam ini mengatur dirinya sendiri. Oleh kerana itu mereka berkesimpulan bahawa setelah menciptakan manusia, Allah beristirahat dan manusia dibiarkan mengatur dirinya sendiri. Dari sinilah lahirnya Sekularisme.

Jadi asas dari Sekularisme adalah memisahkan agama dari kehidupan. Ertinya memisahkan agama dari mengatur kehidupan manusia, kerana negara adalah lambangatau wakil dari kehidupan umat. Jadi Sekularisme ini juga aqidah, kerana idea ini percaya adanya dunia, alam sebelum dunia (pencipta) dan alam sesudah dunia (akhirat). Hanya saja, mereka menganggap ketiganya tidak ada hubungan. Jadi apa pun yang dilakukan di dunia ini tidak akan dipersoalkan di akhirat kelak, terutama yang ada hubungannya dengan gereja, sebab kehidupan dunia telah bebas dari agama.

Asas Komunisme

karl_marxAsas Komunisme adalah Materialisme, iaitu keberadaan alam semesta ini terdiri daripada materi belaka, tidak ada unsur roh sedikit pun. Anggapan mereka, materi itu menciptakan kehidupan. Materi itu abadi bahkan azali. Alam sebelum dan sesudah kehidupan dunia adalah materi belaka. Sedangkan kehidupan dunia itu sendiri adalah jelmaan dari materi yang ‘bernafas’. Asal kehidupan terjadi dengan sendirinya (Generatio spontaniae).

Dongeng tentang kehidupan yang mereka buat adalah, dengan menganggap bahawa kehidupan itu berasal dari materi, materi membentuk atom, atom pula membentuk molekul, yang kemudiannya membentuk asam amino. ‘Tiba-tiba’ ada aliran listrik dan terbentuklah makhluk hidup yang paling sederhana iaitu virus. Daripada virus, berkembang dan berevolusi pula menjadi makhluk bersel satu kemudian menjadi makhluk-makhluk lain yang lebih kompleks, misalnya ikan, tikus, anjing, monyet dan akhirnya menjadi manusia.

Mereka mengingkari sisi rohani, iaitu adanya pencipta di sebalik kehidupan ini. Mereka menganggap bayi yang lahir, hanya sekadar pertemuan sperma dengan sel telur. Sehingga Descrates mengatakan “Beri aku materi, maka kuciptakan kehidupan”.

Aqidah Komunis ini memang berbeza daripada Sekularisme. Namun dalam memandang kebahagiaan di dunia ini mereka sepakat bahawa “kebahagiaan” itu adalah mereguk sebesar-besarnya kenikmatan dunia.

Asas Islam

Asas Mabda’ Islam adalah aqidah Islam itu sendiri iaitu: “Laa ilaaha ilaallah Muhammadarrasulullah”. Penjabarannya adalah, bahawa di sebalik alam semesta, kehidupan dan manusia ini ada pencipta, iaitu Allah ‘Azza wa jalla. Inilah sisi yang dimaksudkan dengan sisi kerohanian. Ertinya mengakui bahawa benda-benda itu adalah makhluk Allah, sedangkan kewujudan benda-benda itu adalah sisi materi semata. Jadi ketika kita beriman kepada Allah, harus pula disertai iman kepada kenabian Muhammad sekali gus beriman kepada al-quran tanpa sedikit keraguan sedikit pun, sehingga apa yang datang dari Al-Quran harus diterima.

Islam menyatakan adanya hubungan dalam memandang dunia, alam sebelum dan sesudah kehidupan di dunia ini. Iaitu adanya Allah yang memberikan perintah untuk beribadah di dunia serta adanya perhitungan dan balasan di akhirat terhadap amal ibadah yang dilakukan di dunia. Jadi harus terikat dengan Syariat Allah SWT.

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku” (TQS Az-Zariyat[51]: 56)

Ketika beramal, Islam mempunyai pandangannya sendiri tentang kaitannya antara materi dengan roh. Misalnya seseorang yang berbicara dengan orang lain, unsur materinya adalah perbuatan berbicara itu, sedangkan unsur rohnya adalah kesedaran pembicara bahawa apa yang ia bicarakan itu akan dipertanggungjawabkan nanti di hadapan Allah SWT pada hari kiamat. Ketika berniaga, unsur materinya adalah perdagangan itu, sedangkan unsur rohnya adalah kesedaran pedagang, bahawa barang dagangannya dapat dipertanggungjawabkan halal dan haramnya menurut hukum Islam.

Proses Lahirnya Sistem Sekularisme/Kapitalisme

Kerana asasnya memisahkan agama dari kehidupan, maka aturan harus lahir dari manusia. Manusialah yang berhak membuat aturan. Agama hanya tinggal di masjid-masjid atau gereja-gereja. Dilarang campur tangan agama dalam masalah kehidupan. Dikatakan bahawa agama tidak dilarang, tetapi hanya dibatasi. Agama adalah sesuatu yang sakral, sehingga jangan sampai dicampur adukan dengan masalah politik, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain.

Proses Lahirnya Sistem Komunisme

Komunis menganggap bahawa aturan lahir dari perkembangan alat produksi. Ketika alat produksi berupa kapak, lahirlah feodalisme. Ketika kapak diganti dengan mesin-mesin, lahirlah kapitalisme. Setelah kelas-kelas itu hilang, lahirlah sosialisme, dan pada akhirnya nanti akan terwujud surga untuk komunisme. Dari sana kita bisa menyimpulkan bahawa Aturan dari Mabda’ ini diambil dari evolusi materi.

Proses Lahirnya Sistem Islam

Sedangkan Islam mengakui bahawa Allah SWT sebagai pencipta segala hukum. Maka aturannya lahir dari syariat yang ditetapkan Allah melalui Rasul-Nya. Dalam memecahkan permasalahannya, seorang muslim mempunyai tiga langkah ketika menghukum suatu permasalahan iaitu: (1) Mempelajari permasalahan yang muncul, (2) Mempelajari hukum yang berkenaan dengan permasalahan tadi, dan (3) Mengambil hukum baik secara langsung mahupun secara istinbat.

Mabda’ yang Sahih

Untuk mengetahui secara hakiki tentang Mabda’ yang sahih di antara ketiga-tiga Mabda’ yang ada, kita harus melakukan perbandingan yang menyeluruh. Ketika melakukan perbandingan, kita bakal mendapatkan Mabda’ yang sahih dengan melihat kesahihan aqidahnya. Aqidah yang sahih adalah aqidah yang :

  1. Sesuai dengan fitrah
  2. Memuaskan Akal
  3. Menenteramkan jiwa

Dari ketiga-tiga Mabda’ di atas, ternyata hanya Islamlah yang sesuai dengan fitrah manusia, kerana secara fitrah keadaan manusia itu terbatas, lemah dan memerlukan perlindungan kepada sesuatu yang memiliki kekuasaan dan ini dibuktikan dengan mengakui adanya Pencipta dan kekuasaan-Nya, sehingga hanya Aturan dari Penciptalah yang berhak dijadikan sebagai tolak ukur perbuatan manusia dalam kehidupan dunia. Ini berbeza dengan Mabda’ Sekularisme/Kapitalisme yang mengakui adanya Pencipta, tetapi menafikan kekuasaannya sehingga ketika menjalani kehidupan dunia ini, idea ini tidak menerima Aturan dari sang Pencipta, sekali gus memperlihatkan bahawa Mabda’ ini tidak sesuai dengan fitrah manusia ketika memisahkan agama dari kehidupan. Mabda’ ini memerlukan aturan yang buatan manusia yang berlandaskan manfaat yang tidak ada hubungannya dengan agama untuk digunakan dalam kehidupannya. Sedangkan Komunis, secara automatik tertolak kerana tidak mengakui adanya Pencipta.

Aqidah Islam juga menyatakan bahawa alam semesta, manusia dan kehidupan ini diciptakan oleh Allah SWT sesuai dengan akal, baik melalui proses berfikir mahupun dengan bukti-bukti yang nyata. Tentunya setiap yang lemah, terbatas, serba kekurangan dan saling memerlukan itu ada Penciptanya. Sehingga jika ada orang komunis menyatakan bahawa pencipta itu tidak ada, adalah tidak logik dan tidak dapat dibuktikan kebenarannya. Sedangkan pengakuan Sekularisme/Kapitalisme terhadap adanya Pencipta alam semesta, manusia dan kehidupan tapi menyatakan bahawa pencipta tidak mampu mengaturnya adalah jelas tidak logik juga.

Ketika menyedari bahawa alam semesta, manusia dan kehidupan ini ada yang menciptakan, dan Penciptanya pula memberikan sistem (perintah dan larangan) yang tentunya harus dilaksanakan dalam seluruh aktiviti kehidupan yang pada akhirnya kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Sang Pencipta, maka kita telah mendapatkan sedikit gambaran dari ketiga Mabda’ yang ada saat ini. kita mendapati bahawa Mabda’ Islamlah Mabda’ yang sahih. Ertinya ia memang sebuah Mabda’, dan bukan ciptaan manusia. Bahkan dari sudut sejarah, Islam adalah Mabda’ yang lebih awal muncul berbanding Kapitalisme dan Sosialisme. Jadi adalah kesalahan besar jika dikatakan bahawa Islam adalah hasil olahan Kapitalisme dan Sosialisme, dengan mengambil aspek-aspek yang baik-baik saja dari keduanya. Islam adalah hak Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta serta seluruh isinya dan Allah SWT hanya redha Islam sebagai agama untuk umat manusia, manakala lain adalah batil dan pasti akan lenyap, baik cepat atau lambat.

“Pada hari ini telah Ku-sempurnakan kepadamu agama kamu dan telah Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku, dan Aku telah redha Islam sebagai agamamu….” (TQS Al-Maidah[5]: 3)

“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam”. (TQS. Al-Imran[[3]: 19)

Wallahu’alam…

2 Responses to “Tentang Tema”

  1. muhammadghazi said

    Alhamdulillah, rasanya entri enta ni telahpun serba-sedikit menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai tariqul iman. Mudah-mudahan ini turut menjawab dakwaan yang mengaitkan Taqiuddin an-Nabhani dengan puak Muktazilah, semata-mata kerana andaian yang melulu tanpa diteliti terlebih dahulu…

    Sejujurnya, ana juga pernah didakwa membawa faham Muktazilah semata-mata kerana mengatakan bahawa iman perlu dicapai dengan menggunakan rasional (akal) dan tidak boleh diwarisi. Ada yang mengatakan bahawa akidah hanya boleh dicapai melalui al-Quran dan as-Sunnah. Kemudian ana bangkitkan semula persoalan, “Kalau begitu, bagaimana dengan non-Muslim yang tidak mempercayai al-Quran dan as-Sunnah?” Oleh itu, kita harus membuktikan hakikat Sang Pencipta, kebenaran al-Quran dan juga kerasulan Muhammad saw. Pembuktian ini tidak boleh melalui kaedah saintifik, kerana Allah tidak boleh diuji kewujudan-Nya sebagaimana dalam eksperimen saintifik. Sebaliknya pembuktian ini haruslah ditempuh dengan pendekatan rasional.

    Sekadar berkongsi dan meminta tunjuk ajar sekiranya pemahaman ana tersilap… Wallahu’alam…

  2. muhammad fadhol said

    ajaib,, hanya saja yang kadang jadi pertanyaan, ketika pemikiran seseorang telah sampai pada suatu derajat yang ” bercahaya- cahaya”, apakah dia akan terus menjadi “pemikir” di siang dan malam- malamnya !!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: